Penduduk terjejas tanah runtuh dan banjir di Penampang menerima bantuan makanan daripada pelbagai pihak. – Ihsan APM
KOTA KINABALU: Sejumlah besar mangsa banjir di Sabah mula pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan cuaca yang semakin baik, sekali gus menyaksikan jumlah penduduk terjejas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus berkurangan sejak dua hari lalu.
Setakat pagi tadi, hanya 439 orang daripada 128 keluarga masih berlindung di empat PPS berbanding 1,476 mangsa daripada 459 keluarga yang direkodkan pada 19 September lalu, dan jauh lebih rendah daripada 2,602 orang daripada 806 keluarga pada 18 September.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), penurunan ini disebabkan sebahagian besar penduduk sudah dibenarkan pulang selepas keadaan banjir beransur pulih dan risiko tanah runtuh di beberapa kawasan berjaya dikawal.
“Tiga daerah yang masih terjejas ialah Penampang, Membakut dan Papar. Penampang merekodkan 121 mangsa daripada 29 keluarga di Dewan Kampung Gawir, Madsiang.
“Di Membakut pula, seramai 192 mangsa daripada 64 keluarga masih menumpang di SMK St Patrick dan Dewan Kesenian Islam manakala 126 mangsa daripada 35 keluarga di Papar ditempatkan di Dewan Masyarakat Papar,” ujar PKOB dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, jumlah PPS yang masih beroperasi juga menurun kepada empat buah sahaja, berbanding 13 PPS dua hari lalu dan 22 PPS pada 18 September.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memberitahu akan terus memantau kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh meskipun ramai mangsa sudah pulang, memandangkan ramalan hujan berterusan masih dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).