Mazlan Joehari Manan
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) tidak perlu terlalu mendabik dada kononnya berjaya memajukan Sabah sepanjang 34 tahun mentadbir, sedangkan hakikatnya negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan.
Katanya, memang benar ada perubahan sepanjang 34 tahun BN memerintah, tetapi jurangnya masih ketara jika dibandingkan dengan Semenanjung.
“Malaya dan Persekutuan ketika itu sangat berkuasa, tetapi mereka lebih menumpukan pembangunan di sebelah sana berbanding di Sabah” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa BN telah meletakkan asas kemajuan negeri ini sejak lebih tiga dekad, sementara Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya ‘baru belajar mentadbir’.
Menurut Mazlan, BN tidak wajar terlalu berbangga dengan projek Lebuhraya Pan Borneo mahupun Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kerana rakyat Sabah masih tidak menikmati kemudahan setaraf Semenanjung.
“Janganlah BN banggakan Pan Borneo yang hingga kini belum siap, sedangkan rakyat Semenanjung sudah lama menikmati lebuhraya moden. Begitu juga dengan SOGIP atau taman perindustrian lain, kerana di Semenanjung berpuluh industri dan taman perindustrian diwujudkan untuk rakyat di sana,” katanya.
Mazlan berkata, ketidakseimbangan itu jelas menunjukkan pembangunan ketika era BN hanya mengutamakan Semenanjung dan mengabaikan kepentingan Sabah.
Tambahnya, Sabah sememangnya kaya dengan hasil bumi, namun peluang untuk menjadikan negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain disia-siakan oleh BN.
“Kalau BN benar-benar ikhlas memajukan Sabah, sudah lama negeri ini lebih maju daripada Semenanjung. Tetapi itu tidak berlaku kerana kepentingan rakyat Sabah tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Mazlan berkata, walaupun baru tiga tahun mentadbir, kerajaan GRS berjaya memperkenalkan pelbagai inisiatif langsung kepada rakyat yang tidak pernah dilaksanakan BN.
“Kerajaan GRS kini bukan saja meningkatkan hasil ekonomi negeri tetapi juga mempelbagaikan sumber ekonomi. Usaha ini penting supaya suatu hari nanti Sabah dapat berdiri di atas kaki sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Putrajaya,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa banyak inisiatif baharu kerajaan GRS — termasuk bantuan terus kepada rakyat serta langkah memperkukuh ekonomi negeri — adalah sesuatu yang gagal dilakukan BN sepanjang tiga dekad berkuasa.
Dalam pada itu, Mazlan menyeru rakyat dan pemimpin politik tempatan supaya bersatu padu serta tidak membenarkan pihak luar kembali menguasai Sabah.
“Kesepaduan dalam kalangan rakyat dan pimpinan politik Sabah adalah kunci utama membawa lebih banyak kemajuan ke depan. Rakyat kena bersatu, politik tempatan kena bersama dan bertekad menolak anasir luar menguasai negeri ini. Orang Sabah sendiri harus menjadi tunjang dan teraju utama dalam melakar perubahan,” katanya.