PUTATAN: Program Semarak Merdeka Malaysia MADANI 2025 Peringkat Zon Sabah mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Tuaran menjadi tuan rumah acara gilang-gemilang yang meraikan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Lebih 325 peserta terdiri daripada murid, guru, ibu bapa serta komuniti setempat hadir memeriahkan sambutan yang turut melibatkan kerjasama SKPK Kota Kinabalu. Suasana sekolah dipenuhi kibaran Jalur Gemilang, laungan merdeka dan wajah ceria para peserta sejak awal pagi.
Guru-guru SKPK Tuaran menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran apabila memastikan setiap aspek program – daripada pengurusan tetamu, perjalanan aktiviti hingga kawalan keselamatan – berjalan lancar.
Program ini menyerlah dengan pelbagai pengisian menarik. Murid MBPK berpeluang merasai pengalaman baharu menerusi pameran kelengkapan pertahanan oleh Angkatan Tentera Malaysia, eksplorasi hidupan liar oleh Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan SERATU AATAI Sabah, selain eksperimen sains serta robotik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan IPGM Kampus Kent.
Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru pula menyemarakkan budaya membaca, manakala Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Putatan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan derma darah. Unsur seni budaya turut diserikan dengan kerjasama Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF), UMS.
Keterlibatan aktif murid MBPK – daripada mengawal robot, mencuba pakaian ketenteraan hinggalah mendekati haiwan eksotik – mencetuskan keriangan serta menzahirkan kejayaan sebenar program.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas JPN Sabah, Roselind Sakai yang memuji kekuatan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat.
“Inilah bukti nyata bahawa apabila semua pihak berganding bahu, lahirlah sebuah program penuh warna dan makna, sekaligus memberi impak besar kepada dunia pendidikan khas di Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, erti kemerdekaan sebenar hanya dapat dirasai apabila murid pendidikan khas tidak lagi dilihat sebagai kelompok tersisih, sebaliknya diraikan bersama rakyat lain.
Program ini turut menjadi wadah penyatuan keluarga apabila ibu bapa hadir menemani anak-anak sepanjang acara, menjadikan suasana seumpama pesta kekeluargaan.
Dengan penganjuran tersusun, meriah dan berimpak besar, SKPK Tuaran kini diangkat sebagai ikon kecemerlangan pendidikan khas negara, sekali gus membuktikan bahawa sekolah pendidikan khas juga mampu melakar sejarah tersendiri.


































