KOTA KINABALU: Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah kali ke-28 yang berakhir malam tadi melahirkan beberapa resolusi penting yang bakal menjadi asas kepada penambahbaikan pentadbiran daerah serta pelaksanaan pembangunan luar bandar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Jahid Jahim yang menyempurnakan majlis penutupan berkata, antara resolusi utama ialah keperluan menilai semula penstrukturan daerah secara menyeluruh, termasuk isu perjawatan dan persempadanan daerah.
“Perkara ini penting supaya pentadbiran daerah benar-benar mempunyai kapasiti dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata, persidangan turut memberi penekanan kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan program Basmi Miskin Tegar (BMT) agar benar-benar sampai ke akar umbi.
Katanya, antara resolusi yang dipersetujui ialah pewujudan jawatankuasa khas berfokuskan BMT di peringkat daerah bagi menangani isu kemiskinan luar bandar secara lebih menyeluruh.
“Perincian program yang sesuai akan dibincangkan dengan melibatkan JKKK dan ketua kampung kerana mereka paling dekat dengan masyarakat luar bandar,” jelasnya.
Selain itu, perkongsian maklumat kewangan oleh Kementerian Kewangan turut mengingatkan pegawai daerah agar berhati-hati dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan isu ketidakpatuhan prosedur seperti yang terkandung dalam AP59.
“Oleh itu, perancangan awal amat penting dalam pelaksanaan projek pembangunan supaya tiada pegawai didakwa atau dikenakan surcaj,” katanya.
Jahid menegaskan, semua resolusi persidangan akan dipantau rapi dan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan serta pencapaian nyata di lapangan, bukan sekadar tinggal sebagai dokumen.
“Saya minta Datuk Setiausaha Tetap KPLB memastikan pelaksanaan semua resolusi ini supaya hasil persidangan benar-benar menjadi teras dalam memperkukuhkan pentadbiran daerah dan memajukan pembangunan luar bandar di Sabah,” tambahnya.
Persidangan kali ini berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan pegawai-pegawai daerah dari seluruh Sabah bersama agensi kerajaan negeri serta persekutuan.


































