Shirley (depan) bergambar kenangan bersama DJ Nizz (kiri) dan DJ Felix Agus (kanan).
KOTA KINABALU: Tayangan wayang pacak secara terbuka di Jabatan Arkib Negeri Sabah akan dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula jam 7 malam ini.
Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Shirley Sion berkata penganjuran tayangan itu diadakan sempena Pameran Hari Malaysia 2025 dengan tujuan menghidupkan semula nostalgia masyarakat menonton filem beramai-ramai di kawasan lapang, selain menyemarakkan semangat kecintaan terhadap tanah air khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Program itu dianjurkan oleh Balai Seni Lukis dengan kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme.
“Turut diadakan aktiviti zumba sepanjang pameran berlangsung iaitu 10 sehingga 13 September ini bermula jam 8.00 pagi hingga 8.30 pagi.
“Selain itu, pelbagai program seperti Merdeka Pop Quiz, Gerai Rahmah dengan makanan berpatutan, Pertandingan Nyanyian Lagu P. Ramlee, Pertandingan Mobile Legends, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak serta Scavenger Hunt dianjurkan untuk orang ramai,”katanya kepada media selepas selesai sesi temubual di konti Kupi-Kupi FM bersama DJ Niz dan DJ Felix, pada Khamis.
Beliau berharap sempena sambutan Hari Malaysia 2025 dapat dijadikan platform perpaduan dan menghimpunkan rakyat tanpa mengira usia, latar belakang atau kaum di bawah satu bendera.
“Saya juga berharap agar generasi muda dapat mengambil iktibar daripada sejarah, mengekalkan semangat muhibah serta terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni,” jelasnya.


































