PENAMPANG: Dua orang termasuk seorang perempuan dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Sarapung, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.10 petang melalui talian Balai Bomba Penampang.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang perempuan dan seorang lelaki terlibat dalam kejadian itu. Mangsa perempuan telah ditemui oleh orang awam, manakala mangsa lelaki masih belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan mangsa perempuan itu dilaporkan stabil.
Beliau berkata, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi berikutan laluan turut terjejas akibat tanah runtuh serta arus air deras.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dengan kekuatan sebuah jentera RRV, sebuah lori dan sebuah bot penyelamat dikerahkan ke lokasi.
Operasi diketuai oleh PBK II KUP Rayndo Taimin.
“Maklumat lanjut termasuk identiti mangsa masih belum diperolehi dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang dijalankan,” tambahnya.


































