TENOM: Ucapan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyifatkan kaum Murut sebagai kafir menimbulkan rasa kesal dan membangkitkan kemarahan pelbagai pihak termasuk laporan polis dibuat di Tenom hari ini.
Ketua Cawangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Saga, Pengiran Ambeirau, 61, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tenom kira-kira jam 10.30 pagi.
Beliau mendakwa ucapan Shafie ketika menghadiri sebuah majlis bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 7 September lalu jelas menghina dan merendahkan bangsa Murut.
“Saya sebagai Ketua Cawangan daripada PDM Kampung Saga tidak berpuas hati dengan ucapan tersebut kerana menghina dan menjatuhkan serta cuba merendah-rendahkan bangsa dan agama Murut.
“Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk mempertahankan maruah bangsa Murut supaya tidak dipolitikkan dan tidak akan dihina lagi,” katanya dalam laporan polis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom, Junik Bajik berkata, kenyataan Shafie amat menyinggung masyarakat Murut dan tidak sepatutnya dikeluarkan dalam ceramah politik.
Katanya, walaupun Shafie kemudiannya mendakwa hanya ‘tersasul’, isu yang menyentuh sensitiviti kaum tidak boleh dianggap ringan kerana ia melibatkan maruah sesuatu bangsa.
“Bukan itu saja, malah kenyataan itu turut dirasai kaum bumiputera bukan Islam lain kerana ia membawa maksud yang sangat sensitif dan berbaur penghinaan.
“Apa yang amat dikesali, ini bukanlah kali pertama Shafie mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperlekehkan kaum lain di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas.
Junik menambah, Shafie sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan masyarakat Cina sebagai binatang dengan menyebut “tiada satu ekor Cina dalam kabinet” dalam salah satu ucapannya.
“Kenyataan jelik berulang kali seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap kepelbagaian kaum di Sabah yang selama ini hidup dalam suasana harmoni.
“Tindakan Shafie wajar dikecam kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan menggugat perpaduan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan supaya mendesak agar bekas ketua menteri itu segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut khususnya.
“Begitu juga kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia secara umum serta berjanji untuk tidak lagi mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur penghinaan,” katanya.




























