PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada agar tidak terpedaya dengan kewujudan akaun palsu yang menyamar sebagai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam platform media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya telah mengesan dua pautan akaun Facebook palsu pada 30 Ogos lalu yang menggunakan nama dan imej NSRC bagi tujuan penipuan.
“Berikut adalah pautan yang dikenal pasti: https://www.facebook.com/share/1AuT2rBmzB/ dan https://www.facebook.com/profile.php?id=61578101700606
“PDRM ingin menegaskan kedua-dua akaun tersebut adalah palsu dan sehingga kini NSRC tidak mempunyai sebarang akaun media sosial termasuk Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, NSRC merupakan sebuah pusat panggilan yang hanya beroperasi secara komunikasi sehala iaitu menerima panggilan daripada orang awam sahaja.
“NSRC tidak akan menghubungi individu melalui telefon atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp. Oleh itu, sebarang mesej atau panggilan yang mendakwa mewakili NSRC adalah penipuan semata-mata,” jelasnya.
Beliau mendedahkan sindiket penipuan terbabit telah mengambil kesempatan terhadap kewujudan NSRC dengan menyamar sebagai pihak berkuasa bagi memperdaya mangsa.
“Mereka menggunakan nama dan imej NSRC untuk memancing maklumat peribadi dan seterusnya memperoleh wang mangsa secara tidak sah,” katanya.
Jelasnya, NSRC berperanan sebagai pusat operasi untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap kes penipuan dalam talian, termasuk pengesanan dana yang dicuri serta tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.
Dalam usaha membanteras jenayah penipuan atas talian, beliau menggesa orang ramai yang menjadi mangsa agar segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.