Willyfous Darinsok
TONGOD: Terdapat keperluan segera melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan kerja-kerja fizikal Kompleks Sukan Tongod yang pembinaannya tertangguh sejak awal Ogos lalu.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, Willyfous Darinsok berkata, langkah itu perlu dilakukan sebaik sahaja proses tender semula selesai memandangkan kontrak syarikat terdahulu telah ditamatkan.
Beliau berkata, prestasi pembinaan kompleks sukan bernilai RM7 juta yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ telah menarik perhatian serius Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
“Masiung mengambil pendekatan tegas dengan meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri menamatkan kontrak syarikat terbabit supaya kontraktor baharu dapat dilantik sebagai penyelamat projek ini.
“Saya sendiri telah lebih sepuluh kali mengiringi beliau membuat lawatan mengejut ke tapak projek dan memberi amaran kepada kontraktor kerana kemajuan kerja terlalu perlahan.
“Beberapa kelonggaran sudah diberi termasuk empat kali Lanjutan Masa (EOT), namun prestasi fizikal tetap mengecewakan,” jelas Willyfous.
Katanya, kegagalan kontraktor itu meneruskan kerja telah menimbulkan pelbagai spekulasi serta tuduhan tidak berasas daripada netizen terhadap ADUN Kuamut.
“Pihak pembangkang juga mengambil kesempatan menggunakan isu ini untuk menabur fitnah terhadap Datuk Masiung,” ujarnya.
Willyfous yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Sabah turut menggesa KBS mempercepatkan proses tender semula bagi memastikan kompleks sukan berkenaan dapat disiapkan segera.
“Kami tidak peduli dengan tuduhan atau fitnah yang dilemparkan. Tugas kami sebagai kepimpinan kerajaan di Kuamut adalah memastikan Kompleks Sukan Tongod siap demi kemudahan anak muda di daerah ini,” katanya.