Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Lebih 120 syarikat dan konglomerat utama China menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama dengan Malaysia, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dizahirkan dalam Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China yang berlangsung di Beijing petang tadi dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Malaysia komited memperkukuh hubungan strategik dengan China menerusi peluasan kerjasama perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor berimpak tinggi.
“Saya tegaskan keperluan memperkukuh hubungan Malaysia–China dengan memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan untuk membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.
“Kekuatan Malaysia adalah politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya kelmarin.
Anwar tiba di Tianjin Ahad lalu bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke negara itu termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh kepentingan membina kepercayaan jangka panjang antara Malaysia dan China dengan menjadikan tokoh perniagaan Malaysia, Tan Sri Robert Kuok sebagai contoh pelabur yang kekal komited di China, meskipun berdepan cabaran pada 1989.
“Semangat seperti ini wajar dijadikan pedoman bahawa keyakinan dan keikhlasan adalah asas dalam membina hubungan yang kukuh dan saling menguntungkan,” katanya.


































