WASHINGTON: Hakim Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menolak tuntutan kerajaan supaya Google menjual pelayar web Chrome dalam kes antimonopoli terbesar dekad ini, namun tetap mengenakan syarat baharu yang meluas untuk mengembalikan persaingan carian dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan bersejarah itu hadir selepas Hakim, Amit Mehta pada Ogos 2024 mendapati Google secara haram mengekalkan monopoli dalam pasaran carian dalam talian melalui perjanjian eksklusif bernilai berbilion dolar setiap tahun.
“Keputusan hari ini mengiktiraf betapa industri sudah banyak berubah dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), yang memberi orang ramai lebih banyak cara untuk mendapatkan maklumat,” kata Naib Presiden Hal Ehwal Peraturan Google, Lee-Anne Mulholland.
Beliau menambah, keputusan itu selaras dengan hujah Google sejak kes difailkan pada 2020 bahawa persaingan dalam sektor teknologi sangat sengit dan pengguna mudah memilih perkhidmatan yang mereka mahu.
Namun, Mulholland menyatakan kebimbangan terhadap syarat mahkamah yang mewajibkan Google berkongsi data carian dan mengehadkan pengedaran perkhidmatannya, yang menurutnya boleh menjejaskan privasi pengguna.
Keputusan Mehta ini dianggap antara tindakan undang-undang paling penting terhadap amalan monopoli korporat dalam tempoh dua dekad dan berpotensi mengubah masa depan gergasi teknologi itu.
“Kami akan terus meneliti keputusan ini bagi mempertimbangkan pilihan serta langkah seterusnya, termasuk kemungkinan memohon remedi tambahan,” kata Penolong Peguam Negara, Abigail Slater dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, keputusan pada Selasa itu tidak memenuhi jangkaan sesetengah pihak yang menjangkakan perubahan lebih drastik terhadap Google.
“Hakim nampaknya berpendapat beberapa cadangan remedi yang dikemukakan pendakwaan atau Jabatan Kehakiman terlalu keras.
“Google jelas tidak akan dipecahkan, dan tidak pasti sama ada model perniagaannya akan berubah dengan ketara,” kata Profesor Undang-Undang Universiti Richmond, Carl Tobias.
Kerajaan AS sebelum ini mendesak Google menjual Chrome, dengan alasan pelayar itu menjadi pintu masuk utama ke aktiviti internet serta memacu hampir sepertiga daripada keseluruhan carian web Google.


































