Paru-paru tersebut kekal ‘hidup’ dan berfungsi dengan baik selama sembilan hari selepas pemindahan.
GUANGZHOU: Sekumpulan pakar bedah di China mencatat sejarah perubatan apabila memindahkan paru-paru babi yang diubah suai secara genetik ke dalam tubuh manusia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha menggunakan organ haiwan bagi menyelamatkan nyawa manusia.
Menurut Utusan Malaysia, prosedur sulung tersebut dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun yang disahkan mati otak akibat pendarahan otak.
Paru-paru tersebut kekal ‘hidup’ dan berfungsi dengan baik selama sembilan hari selepas pemindahan, memberi petunjuk manusia berpotensi untuk hidup dengan organ paru-paru daripada babi pada masa hadapan.
Menurut pasukan penyelidik dari Universiti Perubatan Guangzhou, kejayaan itu menandakan kali pertama dalam sejarah di mana paru-paru babi dipindahkan ke dalam tubuh manusia.
“Paru-paru babi yang diubah suai secara genetik sebelum ini tidak pernah dipindahkan ke manusia. Kajian kami membuktikan organ tersebut boleh kekal berfungsi sehingga 216 jam,” kata pasukan penyelidik tersebut dalam laporan yang diterbitkan oleh jurnal Nature Medicine.
Sebelum ini, saintis memindahkan jantung dan buah pinggang babi ke tubuh manusia, namun paru-paru dianggap cabaran terbesar kerana sifatnya yang lebih rapuh, kompleks, dan terdedah kepada toksin daripada udara persekitaran.
Bagi mengatasi risiko penolakan organ, pasukan penyelidik menggunakan teknologi penyuntingan gen CRISPR untuk menghapuskan antigen pada paru-paru babi baka Bama Xiang yang boleh mencetuskan tindak balas sistem imun manusia.
Walaupun masih banyak cabaran, pakar percaya kejayaan ini membuktikan potensi besar kaedah xenotransplantasi iaitu pemindahan organ daripada spesies berbeza sebagai penyelesaian terhadap krisis kekurangan organ di seluruh dunia.
“Paru-paru adalah organ yang sangat terdedah kepada aliran darah tinggi dan udara luar, menjadikannya lebih mudah diserang sistem imun. Kajian ini memberi panduan penting tentang halangan imunologi, fisiologi dan genetik yang perlu diatasi,” jelas pasukan penyelidik itu.
Kejayaan di China ini hadir hanya beberapa bulan selepas seorang wanita di Alabama, Amerika Syarikat (AS), Towana Looney, menjadi penerima organ babi paling lama hidup, apabila bertahan selama 60 hari dengan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik.
































