Satu pasangan mengambil gambar swafoto di pantai di Mumbai, India.
NEW YORK: Fenomena swafoto atau selfie yang menjadi budaya global era media sosial kini terbukti membawa risiko maut, dengan ratusan nyawa melayang ketika cuba merakam momen indah untuk dikongsi di alam maya.
Menurut Utusan Malaysia, kajian terbaharu yang dijalankan oleh The Barber Law Firm yang menganalisis ratusan insiden kemalangan berkaitan swafoto di seluruh dunia dari Mac 2014 hingga Mei tahun ini mendapati India muncul sebagai negara paling berbahaya untuk bergambar, menyumbang lebih 40 peratus kejadian maut di peringkat global.
Menurut laporan yang turut dipetik New York Post, India mencatat 214 kematian dan 57 kecederaan dalam tempoh tersebut.
Faktor utama dikenal pasti termasuk kemudahan akses ke kawasan berisiko seperti landasan kereta api, tebing curam dan bangunan tinggi, selain budaya media sosial yang begitu kuat.
Amerika Syarikat (AS) berada di tempat kedua dengan 45 insiden melibatkan 37 kematian dan lapan kecederaan, manakala Russia di tempat ketiga dengan 19 kes, termasuk 18 kematian.
Penyelidik mendapati jatuh dari bangunan tinggi, tebing atau struktur curam menjadi punca utama kematian, merangkumi 46 peratus daripada keseluruhan insiden.
Antara insiden terkini termasuk seorang lelaki berusia 48 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di Kepulauan Canary pada Mei lalu ketika cuba mengambil swafoto.
Awal bulan ini, seorang pelancong di Athens, Greece, juga maut selepas terjatuh dari puncak Gereja Gunung Lycabettus akibat tiupan angin kencang ketika bergambar manakala pada Julai lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun meninggal dunia selepas dihempap bongkah batu ketika berswafoto di tebing Sungai Piave, Florence, Itali.
Pakar keselamatan mencadangkan supaya lebih banyak zon larangan swafoto diwujudkan di kawasan pelancongan berisiko tinggi bagi mengekang angka kematian.
India sudah mula melaksanakan larangan tersebut di beberapa lokasi tumpuan.




























