Anwar Ibrahim ketika memberi amanat pada Majlis Amanat Perdana Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dewan A MAEPS di sini, hari ini.
SERDANG: Generasi muda negara ini perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi selama ini kerana ia bukan sesuatu yang datang dengan mudah.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi terdahulu telah melalui jalan panjang dan penuh cabaran termasuk perjuangan menuntut kemerdekaan, mengisi pembangunan negara serta mengatasi pelbagai ujian untuk memastikan Malaysia kekal stabil dan harmoni.
“Kita jangan lupa bahawa apa yang kita nikmati sekarang tidak murah, bukan sesuatu yang boleh datang begitu sahaja. Ia menuntut pengorbanan, kesungguhan dan perpaduan generasi sebelum ini,” katanya dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, anak muda harus mengambil iktibar daripada sejarah dan terus memupuk semangat cintakan negara dengan menolak sebarang usaha yang cuba memecahbelahkan rakyat atas dasar kaum, agama atau wilayah.
“Anak-anak muda mesti sedar bahawa keamanan dan keharmonian ini harus dipertahan.
“Jangan biarkan ada pihak yang cuba mengadu domba dan mengoyak kesatuan yang sudah kita bina,” katanya.
Selain itu, Anwar menekankan kepentingan ilmu, integriti dan semangat juang dalam kalangan belia agar mampu menjadi pelapis kepimpinan negara yang berwibawa.




























