Anwar Ibrahim ketika memberi amanat pada Majlis Amanat Perdana Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dewan A MAEPS di sini, hari ini.
SERDANG: Kemerdekaan sebenar Malaysia hanya dapat dicapai apabila negara ini bebas daripada rasuah, penyeludupan dan kartel yang sekian lama melemahkan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, kekuatan Malaysia juga terletak pada kekuatan rakyat yang mesti terus menolak amalan rasuah.
“Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan semua.
“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” katanya dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata walaupun Malaysia mungkin tidak sempurna, tetapi negara ini telah menunjukkan kekuatan yang luar biasa.
“Saya ulang, carilah negara lain yang sekuat dan sehebat Malaysia. Saya tabik kepada rakyat Malaysia, wira sebenar semangat ini.
“Sudah tentu ada cabaran yang menguji kita. Setiap kali perubahan dicadangkan, isu perkauman sering dibangkitkan sehingga melemahkan perpaduan kita. Namun, saya bersyukur kerana majoriti rakyat kita bertindak dengan bijaksana, melihat kepada fakta dan angka, bukannya sentimen yang boleh melemahkan kekuatan kita,” katanya.



























