Armizan Mohd Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan diskaun pendaftaran bagi fi cap dagangan sempena sambutan bulan kebangsaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, diskaun sebanyak RM300 itu ditawarkan selama empat bulan bermula 1 September hingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, diskaun pengurangan fi cap dagangan itu ditawarkan menerusi kempen ‘Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global’.
“Melalui pakej ini, pemohon hanya perlu membayar RM650 daripada fi asal iaitu RM950 bagi setiap permohonan cap dagangan yang dikemukakan oleh individu atau entiti perniagaan termasuk persatuan dan pertubuhan.
“Setiap permohonan bagi jenama atau logo perniagaan yang diluluskan pendaftarannya pula akan dilindungi selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Katanya, objektif inisiatif ini adalah untuk menggalakkan pendaftaran harta intelek sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan jenama tempatan.
Armizan berkata, berdasarkan data SME Corp, sebanyak 96.1 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dan lebih 70 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro.
Pada majlis sama, Armizan turut melancarkan Perkhidmatan Perkhidmatan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan SSM dengan lebih cepat dan mudah.
Menurutnya, Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 yang menggantikan bas Ezbiz On-The-Go menampilkan reka bentuk lebih kontemporari dan mesra pelanggan termasuk penggunaan teknologi terkini.
“Antara kemudahan yang dipertingkatkan untuk bas Ezbiz On-The-Go 2.0 ini ialah saiz bas yang lebih besar, perkhidmatan kaunter moden, terminal layan diri dengan kiosk skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat yang selesa,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, sempena sambutan bulan kebangsaan juga, rakan KPDN iaitu Shopee turut melancarkan Kempen Shopee Payung RM100 bermula 31 Ogos sehingga 16 September ini.
Menurutnya, melalui kempen ini, pelanggan Shopee boleh mendapatkan baucer Shopee bernilai RM100 dengan hanya RM1.
“Melalui kempen ini, Shopee akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pelanggan atau pengguna Shopee.
“Dengan bayaran serendah RM1, para pengguna akan diberikan baucer bernilai RM100 untuk digunakan bagi membeli barangan dalam platform Shopee seperti ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay.
“Selain itu, Shopee turut menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma bagi pembelian yang dilakukan antara 31 Ogos sehingga 16 September 2025,” katanya.


































