Hajiji (tengah) bersama pemimpin lain bergambar kenangan bersama rakyat pada jelajah berkenaan.
TAMBUNAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan keyakinannya bahawa gabungan pemerintah akan diberikan mandat baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sentimen kuat rakyat yang mahu parti tempatan menerajui Kerajaan Negeri.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Kerajaan GRS pada masa ini disertai lapan parti tempatan, iaitu Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), United Sabah National Organisation (Usno), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
“Lapan parti tempatan ini adalah harapan kita pada PRN akan datang. Kita tidak boleh mensia-siakan peluang keemasan ini kerana sentimen di peringkat akar umbi amat kuat mahu parti tempatan memimpin politik Sabah,” katanya pada Jelajah Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 yang berlangsung di Dataran Pisompuruan, di sini, hari ini.
“Saya mahu rakyat bersatu. Inilah masanya kita memastikan GRS menang besar dalam PRN. Pemimpin GRS di Tambunan mesti menang, dan kita mempunyai seorang pemimpin yang baik di sini iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.
Menurut Hajiji, sepanjang lima tahun lalu, Kerajaan Negeri GRS di bawah pimpinannya telah membuktikan rekod pencapaian dalam membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat.
“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan berjaya membangunkan ekonomi negeri berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Dalam bidang pertanian, kita telah mengaktifkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah serta mensasarkan tahap sara diri (SSL) makanan negeri meningkat kepada 60 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Dalam sektor perindustrian pula, katanya, Kerajaan Negeri berjaya menarik ramai pelabur berimpak tinggi hasil dasar mesra pelabur, termasuk yang terbaharu sebuah syarikat dari Singapura yang membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion dalam tiga fasa.
“Ini bukan sahaja menjana hasil untuk negeri tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, termasuk pemberian bantuan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah selama setahun.
“Dari segi bantuan kebajikan, kita telah membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.33 bilion di bawah pembangunan modal insan,” katanya.
“Saya mahu tanya Shafie Apdal, apa yang beliau lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar hampir tujuh tahun?” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah pada PRN akan datang.


































