Azalina Othman Said
PUTRAJAYA: Kerajaan meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli bagi penubuhan tribunal khas untuk mendengar kes-kes buli khususnya melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana, tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan buli dalam undang-undang sedia ada.
“Memang ada undang-undang khusus yang melibatkan isu buli. Walau bagaimanapun, kajian lanjut sedang dijalankan sama ada perlu atau tidak diwujudkan satu tribunal khas bagi kes-kes buli.
“Sebagai contoh, jika kes buli melibatkan individu bawah 18 tahun, ia tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak. Walaupun dibawa ke mahkamah, mungkin ada keperluan mewujudkan prosedur tribunal yang lebih sesuai. Perkara ini masih dalam perbincangan, termasuk dengan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak,” katanya ditemui selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini, pagi tadi.
Azalina berkata, isu buli bukan hanya melibatkan kanak-kanak di sekolah sahaja malah, berlaku dalam alam pekerjaan di mana ada situasi pekerja junior dipaksa melakukan kerja peribadi majikan selepas waktu pejabat, dinafikan cuti atau dinafikan kenaikan pangkat dan sebagainya.
Katanya, jika semua kes buli perlu dibawa ke mahkamah maka, prosesnya akan mengambil masa yang panjang justeru, tribunal khas mungkin lebih sesuai kerana hukuman bagi kes buli biasanya lebih menjurus kepada rehabilitasi, bukan sekadar pemenjaraan.
Dalam pada itu, beliau berkata, warga sekolah termasuk pihak pentadbir dan guru perlu didedahkan dengan kefahaman yang betul mengenai undang-undang terutama berkaitan jenayah buli dan seksual.
Kata Azalina, pihaknya dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dalam masa terdekat bagi memberi kefahaman kepada warga sekolah mengenai kefahaman undang-undang itu.
Beliau berkata, menerusi kerjasama itu nanti, pihaknya akan menjelajah ke setiap pejabat pendidikan negeri bagi menganjurkan program bersama pengetua, guru kaunseling dan warga sekolah.
“Saya telah bertemu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam dan kita akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan itu.
“Apa gunanya undang-undang tu hebat kalau rakyat tak tahu undang-undang itu ada untuk melindungi mereka,” katanya.
Azalina mengakui masih ramai tidak mengetahui dan memahami hak masing-masing dari aspek undang-undang dan jika berlaku sesuatu kes di sekolah sebagai contoh, guru-guru pun ada hak mereka.
Jelasnya lagi, jika ada situasi di mana murid menunjukkan tanda-tanda perubahan sikap atau ketakutan dan pengetua atau guru gagal melaporkannya, mereka juga boleh dipertanggungjawabkan.


































