Arthur Sen
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen menegaskan kejayaan negeri Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan hasil “legasi” Parti Warisan, sebaliknya hasil dasar kukuh serta pengurusan ekonomi berhemah kerajaan semasa.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing yang mendakwa pencapaian Sabah dengan hasil RM7 bilion dan rizab RM8.7 bilion pada tahun 2024 adalah warisan kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Lucu bila Warisan mahu menuntut kredit. Ketika Shafie jadi Ketua Menteri, hasil negeri menjunam ke RM4.2 bilion manakala rizab susut tinggal RM3.2 bilion. Itukah yang dipanggil legasi?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, Warisan sering mendakwa Cukai Jualan Petroleum (SST) sebagai pencapaian mereka, sedangkan hakikat sebenar usaha tersebut telah bermula sejak 2014 melalui kajian “State Sales Tax Study” oleh Kementerian Kewangan Sabah.
“Perwartaan hanya berlaku pada 2018, tetapi Petronas hanya mula daftar dan bayar selepas GRS ambil alih pada hujung 2020. Fakta jelas, GRS yang merealisasikan hasil SST ini, bukan Warisan,” katanya.
Menurut beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga pernah menegaskan dalam Dewan Undangan Negeri bahawa SST bukan usaha Warisan semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama panjang penjawat awam, kerajaan negeri sejak 2014 serta persetujuan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau mahu beri penghargaan, ia mesti kepada semua pihak yang terlibat sejak awal. Jadi kenapa Warisan cuba mencuri kredit seolah-olah itu semata-mata jasa mereka?” soalnya.
Mengulas sindiran Warisan kononnya “rakyat tidak boleh makan angka,” Arthur menyifatkannya sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka ketika mentadbir.
“Memang rakyat tidak makan angka, tetapi rakyat pun tidak boleh hidup dengan janji kosong. Zaman Warisan, masalah air, jalan berlubang dan bekalan elektrik terputus masih berleluasa. Sebaliknya, di bawah GRS, rekod hasil disalurkan untuk bajet pembangunan – RM729 juta untuk air, RM1.34 bilion untuk jalan dan jambatan, serta ratusan juta bagi pendidikan dan biasiswa,” katanya.
Arthur turut membangkitkan keputusan Warisan melalui Sabah Development Bank (SDB) yang menggunakan RM300 juta untuk memberi pinjaman kepada AirAsia ketika pandemik Covid-19, yang disifatkannya sebagai langkah berisiko tinggi dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
“Pada ketika rakyat susah kerana Covid-19, Warisan memilih memberi pinjaman ratusan juta kepada syarikat penerbangan. Itu bukan keputusan strategik yang bijak, dan inilah fakta, bukan cerita kosong,” tegasnya.
Beliau juga menekankan transformasi besar yang dicapai Sabah di bawah GRS, termasuk pegangan langsung dalam sektor minyak dan gas – 50% Samarang PSC, 25% SAMUR, 10% LNG9, 25% ZLNG serta perancangan pegangan 40% dalam PFLNG1.
“Warisan hanya tahu menuntut kredit atas usaha kerajaan sejak 2014, tetapi GRS yang berjaya membawa Sabah menjadi pemilik dan pemegang ekuiti sebenar dalam industri minyak dan gas,” jelasnya.
Sehubungan itu, Arthur menyifatkan dakwaan Warisan bahawa kejayaan kini adalah “legasi Shafie” sebagai bahan ketawa rakyat.
“Rakyat tahu, legasi sebenar Warisan hanyalah SDB memberi pinjaman RM300 juta kepada AirAsia semasa pandemik, Pas Sementara Sabah (PSS) dan janji-janji palsu. Sebaliknya, GRS yang memulihkan, memajukan serta menggunakan hasil negeri untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.


































