Dr. Dzulkefly Ahmad
GOMBAK: Kira-kira 6.86 juta rakyat Malaysia dewasa didapati mengalami masalah berat badan berlebihan berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dapatan itu menimbulkan kebimbangan terhadap usaha negara menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).
Katanya, tinjauan tersebut mendapati 32.6 peratus individu dewasa berusia 18 tahun ke atas mengalami berat badan berlebihan manakala 21.8 peratus atau 4.58 juta orang lagi dikategorikan sebagai obesiti.
“Secara keseluruhan, lebih separuh populasi dewasa di Malaysia berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes.
“Selain itu, diabetes menjejaskan 15.6 peratus atau 3.55 juta rakyat Malaysia, manakala prevalens hipertensi adalah 29.2 peratus membabitkan 6.65 juta orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Roczen Universal di Rails and River Event Space di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, Perak merekodkan prevalens diabetes tertinggi dengan kadar 21.7 peratus diikuti Pahang 21.5 peratus dan Perlis 20.6 peratus.
“Bagi hipertensi, Perak turut mendahului dengan kadar 40.2 peratus, diikuti Sarawak (39.9 peratus) dan Perlis (39.1 peratus).
“Dari segi individu dewasa yang mengalami berat badan berlebihan, Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 40.6 peratus, diikuti Putrajaya 35.5 peratus dan Labuan (34.8 peratus). Namun, Perlis merekodkan kadar obesiti tertinggi pada 32.8 peratus,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, kerajaan kini memperkukuh kerjasama bagi menangani peningkatan NCD termasuk diabetes, hipertensi dan obesiti.
Katanya, Malaysia bekerjasama dengan Reset Health, sebuah platform berpangkalan di United Kingdom yang turut digunakan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bagi memperkenalkan penyelesaian penjagaan kesihatan digital menyeluruh di negara ini.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada saringan, rawatan serta intervensi gaya hidup dengan penekanan kepada kesihatan berasaskan keluarga dan komuniti.
“Ibu bapa sihat akan melahirkan anak yang sihat, manakala ibu bapa tidak sihat cenderung melahirkan anak yang tidak sihat,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mencadangkan beberapa inisiatif baharu dalam belanjawan akan datang bagi memperkukuh usaha negara menangani obesiti dan diabetes
































