TANGKAK: Seorang pesara wanita berusia 60 tahun kerugian RM695,375 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan keuntungan 100 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, kejadian bermula pada 2 Julai lalu ketika mangsa melayari Facebook dan berminat menyertai pelaburan “Franklin Templeton”.
“Mangsa berhubung dengan suspek melalui WhatsApp sebelum diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan ‘DESG’. Melalui aplikasi tersebut, mangsa ditawarkan skim pelaburan dengan pulangan lumayan,” katanya.
Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat 16 pindahan wang ke empat akaun keldai (mule account) antara 2 Julai hingga 12 Ogos lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM695,375.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Roslan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan segera dan besar. Beliau mengingatkan agar setiap pelaburan disemak terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat terkini berkaitan penipuan melalui laman media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok.
“Sekiranya sudah menjadi mangsa, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk membolehkan tindakan pantas diambil bagi menyekat aliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.




























