PETALING JAYA: Seorang wanita China ditahan kerana mencederakan pegawai kaunter imigresen semasa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian sekitar pukul 7.40 petang, empat individu warga China terdiri daripada seorang lelaki, wanita dewasa dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, pegawai kaunter mendapati kesemua individu itu tidak mempunyai rekod pergerakan masuk sebelum dirujuk kepada penyelia pasukan untuk semakan lanjut.
“Bagaimanapun, wanita dewasa tersebut tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.
“Suspek kemudian memaki-hamun pegawai dengan perkataan kesat, sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, suspek enggan bertenang walaupun diarahkan berbuat demikian sehingga menyebabkan berlaku pergelutan kecil.
Katanya, pegawai AKPS kemudian memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.
“Akibat serangan itu, pegawai mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan dan lenguh badan. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan,” katanya.
Katanya, suspek kini dalam tahanan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
































