Kajian mendapati rawatan menggunakan keratin yang diambil daripada rambut atau bulu biri-biri mampu menghentikan sepenuhnya kerosakan gigi pada peringkat awal.
LONDON: Sekumpulan saintis dari King’s College London menemui formula ubat gigi berasaskan rambut manusia yang berupaya membaiki kerosakan gigi dengan lebih berkesan berbanding produk berfluorida.
Menurut Utusan Malaysia, ajian mendapati rawatan menggunakan keratin yang diambil daripada rambut atau bulu biri-biri mampu menghentikan sepenuhnya kerosakan gigi pada peringkat awal dan berpotensi digunakan sama ada dalam bentuk ubat gigi serta gel seakan pengilat kuku bagi rawatan sasaran.
Menurut penyelidik utama, Dr. Sherif Elsharkawy, penemuan itu menandakan era baharu bioteknologi yang bukan sahaja merawat simptom, malah memulihkan fungsi biologi dengan menggunakan bahan semula jadi daripada tubuh manusia sendiri.
“Dengan pembangunan lanjut dan kerjasama industri, tidak mustahil kita akan memiliki senyuman lebih sihat hanya daripada sesuatu yang semudah potongan rambut,” katanya.
Walaupun enamel merupakan bahan paling keras dalam tubuh manusia, ia boleh terhakis akibat makanan berasid, minuman bergula atau tabiat kebersihan gigi yang lemah berbeza dengan tulang dan rambut, enamel tidak mampu tumbuh semula apabila hilang.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Advanced Healthcare Materials itu menunjukkan keratin mampu membentuk lapisan mineral padat yang meniru struktur dan fungsi enamel.
Ia berinteraksi dengan mineral semula jadi dalam air liur bagi menghasilkan “rangka hablur” yang terus menyerap kalsium dan fosforus, lalu membina lapisan seperti enamel di sekeliling gigi.
Lapisan tersebut berfungsi melindungi gigi serta menutup saluran saraf terdedah yang menyebabkan sensitiviti, sekali gus merawat punca kerosakan.
Penyelidik percaya rawatan ini mempunyai kelebihan besar berbanding teknik pergigian sedia ada, termasuk potensi untuk menjadi lebih mesra alam melalui penggunaan semula rambut buangan dari salun dan bulu biri-biri berlebihan dari ladang.
Menurut penulis pertama kajian, Sara Gamea, rawatan berasaskan keratin mampu memberikan perlindungan jangka panjang terhadap sensitiviti dan hakisan gigi kerana bahan mentahnya mudah diperoleh, boleh diperbaharui dan kos pengeluarannya rendah.
































