Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR : Penilaian semula aset huluan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan komersial syarikat minyak nasional itu tanpa campur tangan politik.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petronas perlu mengutamakan perancangan jangka panjang bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global serta pengurusan portfolio aset menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan operasi dan keuntungan syarikat.
Antara langkah strategik, jelasnya, termasuk menjual aset yang telah mencapai tahap maksimum pengeluaran untuk dilaburkan semula ke dalam projek baharu.
“Kita lihat contoh seperti di Brazil yang memiliki tujuh blok sektor huluan, tiga blok pembangunan dan empat blok penerokaan. Penilaian semula aset perlu dilakukan berterusan.
“Keputusan menjual aset di Sudan Selatan pula dibuat atas faktor keselamatan susulan konflik berterusan antara Sudan dan Sudan Selatan. Bagaimanapun, operasi yang bermula sejak 1993 dan 1994 itu telah memberi keuntungan besar kepada Petronas sebelum penjualan dilakukan,” katanya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dan strategi syarikat berkenaan menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil.
Anwar berkata, operasi di Kanada dilihat strategik berikutan rizab gas asli yang besar iaitu sekitar 50 trilion kaki padu (TCF), yang kini telah mula dieksport bersama beberapa syarikat gergasi antarabangsa.
Jelasnya, kerjasama global meluas antara Petronas termasuk TotalEnergies (Perancis) dan ENI (Itali) dalam projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) di rantau ini.
“Suriname dalam portfolio deepwater melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC). Indonesia bersama Pertamina untuk PSC Serpang dan Binaiya.
“Turkmenistan melalui blok 1 PSC dengan XRG dan syarikat lain. Vietnam dan Abu Dhabi, termasuk kejayaan memperoleh onshore Block 2 (ON2) di Abu Dhabi (juga) suatu pencapaian membanggakan kerana negara Teluk jarang memberi peluang kepada syarikat bukan barat,” katanya.
Anwar berkata, Petronas turut mengorak langkah dalam projek CCUS serta menyokong peralihan tenaga, termasuk projek ASEAN Power Grid yang menghubungkan Vietnam-Kelantan-Singapura.
Selain itu, katanya, perbincangan awal bersama Kerajaan Sarawak, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Petronas juga sedang dijalankan bagi membangunkan kabel bawah laut dari Sarawak ke Johor.
































