Zara Qairina Mahathir
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan laporan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dapatan itu diperoleh hasil bedah siasat pada 10 Ogos lalu.
Katanya, proses itu dihadiri tiga doktor iaitu masing-masing seorang dari Hospital Serdang dan dua dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.
“Kecederaan yang ditemukan adalah selari dengan dapatan awal yang menunjukkan ia konsisten insiden jatuh.
“Semua dapatan bedah siasat juga sudah dijelaskan kepada keluarga mangsa secara telus dan difahami bahawa prosedur ini sepatutnya dilakukan sebaik sahaja kematian berlaku bagi memastikan bukti forensik tidak terjejas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
































