Liew (kiri) dan Lai memilih kain batik bermotif etnik Murut untuk pakaian rasmi yang akan dipakai semasa Sambutan Hari Malaysia.
KOTA KINABALU: Sabah akan menganjurkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri ke-62 di Padang Merdeka yang bersejarah di sini pada 16 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025, Datuk Seri Christina Liew berkata, Hari Malaysia mempunyai makna istimewa bagi semua rakyat Malaysia dan mengingatkan bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai kepentingan sejarah besar dalam pembentukan negara.
“Penganjuran acara ini adalah satu penghargaan bermakna yang menghormati sejarah dan aspirasi bersama semua rakyat Malaysia.
“Ia bukan sahaja hari memperingati pembentukan negara tercinta, tetapi juga detik untuk merenung perpaduan, kepelbagaian, dan keharmonian yang menjadi teras Malaysia.
“Tahun ini, dengan tema pilihan ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’, kita berhasrat memperkukuh nilai-nilai ini dan menginspirasikan semua rakyat Malaysia untuk menghayati semangat kebersamaan.
“Komitmen berterusan, usaha tanpa jemu dan kerjasama anda amat penting bagi kejayaan sambutan Hari Malaysia tahun ini,” kata Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya di bilik mesyuarat kementeriannya di sini kelmarin.
Beliau berkata, walaupun persiapan berjalan lancar, masih terdapat aspek kritikal yang memerlukan perhatian segera Jawatankuasa Penganjur, khususnya dari segi logistik, keselamatan, susunan protokol, dan usaha promosi.
“Saya menggesa semua agensi dan pihak berkepentingan untuk bekerjasama rapat dan mempercepatkan perkara yang masih tertangguh bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.
“Kejayaan sambutan ini bergantung kepada sokongan dan kerjasama semua pihak – daripada kementerian dan agensi kerajaan kepada sektor swasta, pihak berkuasa tempatan, serta pemimpin masyarakat.
“Saya menyeru setiap daripada anda untuk terus memainkan peranan secara aktif dan penuh dedikasi,” katanya.
Menteri itu berharap sambutan Hari Malaysia kali ini akan menetapkan penanda aras baharu, bukan sahaja dari segi pengurusan dan penyelarasan, tetapi juga dalam menggalakkan penyertaan awam yang lebih meluas serta liputan media yang berimpak.
“Saya yakin dengan kekuatan gabungan kita, kita mampu menganjurkan sambutan yang bermakna dan berkesan untuk semua rakyat Malaysia di Sabah,” katanya sambil menambah bahawa Jawatankuasa Penganjur menjangkakan kehadiran 30,000 orang di Padang Merdeka pada 16 September.
Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Josie Lai, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan.


































