COPENHAGEN: Sebuah zoo di utara Denmark mencetuskan kontroversi apabila membuat permintaan terbuka kepada pemilik haiwan peliharaan supaya menyumbangkan arnab, ayam, marmot dan kuda kecil untuk dijadikan makanan kepada haiwan pemangsa di zoo berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu hantaran di Facebook rasmi, Zoo Aalborg memaklumkan langkah itu diambil sebagai usaha meniru rantaian makanan semula jadi dan memastikan kelangsungan tingkah laku serta pemakanan asli haiwan pemangsa di premis tersebut.
“Arnab, ayam dan marmot merupakan bahagian penting dalam diet haiwan-haiwan pemangsa kami,” jelas pihak zoo dalam hantaran itu yang turut disertakan gambar seekor lynx bermulut ternganga menampakkan taring tajam.
Dalam laman web rasmi, Zoo Aalborg menjelaskan haiwan yang disumbangkan akan terlebih dahulu ‘dilalukan proses eutanisasi secara berhemah’ oleh kakitangan terlatih sebelum dijadikan makanan.
Zoo itu menempatkan beberapa spesies pemangsa seperti singa Asia, harimau Sumatera dan lynx Eropah.
Permintaan terbuka tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, dengan sesetengah pihak mengecam tindakan zoo yang dianggap menjadikan haiwan peliharaan sebagai mangsa, manakala sebahagian lagi memuji inisiatif itu sebagai satu bentuk kelestarian alam dan pemakanan semula jadi haiwan buas.
Timbalan Pengarah Zoo Aalborg, Pia Nielsen dalam satu kenyataan e-mel berkata, amalan tersebut bukanlah perkara baharu dan sudah lama dipraktikkan di Denmark.
“Selama bertahun-tahun kami memberikan daging haiwan ternakan kecil kepada haiwan pemangsa. Daging yang mengandungi bulu, tulang dan sebagainya adalah penting bagi memastikan diet mereka hampir sama dengan habitat liar,” kata Nielsen.
Zoo tersebut sebelum ini pernah dikritik hebat kerana cara mereka mengurus pemakanan dan populasi haiwan di mana pada tahun 2014, Zoo Copenhagen pernah membunuh seekor zirafah muda yang sihat bernama Marius bagi mengelakkan pembiakbakaan dalam, walaupun terdapat petisyen besar-besaran yang membantah tindakan itu.
Beberapa minggu kemudian, zoo tersebut sekali lagi dikecam selepas mengambil keputusan membunuh empat ekor singa bagi memberi laluan kepada seekor singa jantan baharu dalam usaha membiak generasi baharu.


































