WASHINGTON: Ketegangan kuasa besar kembali memuncak, kali ini di angkasa lepas apabila Amerika Syarikat (AS), China dan Russia berlumba menjadi negara pertama menempatkan reaktor nuklear di permukaan bulan.
Menurut Utusan Malaysia, terbaharu, Ketua Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Sean Duffy merancang menghantar dan memasang reaktor nuklear di bulan sebelum tahun 2030, sebagai sebahagian daripada program Artemis yang bertujuan mewujudkan penempatan kekal di bulan.
Menerusi arahan rasmi yang pertama kali didedahkan oleh portal Politico, Duffy menjelaskan langkah tersebut bakal memberi peluang kepada AS untuk mengisytiharkan ‘zon larangan masuk’ di kawasan pendaratan bulan sebagai usaha melindungi kepentingan strategik negara itu.
Beliau turut menetapkan NASA menempatkan reaktor berkapasiti sekurang-kurangnya 100 kilowatt, cukup untuk membekalkan tenaga kepada 80 buah rumah biasa di AS.
China dan Russia tidak ketinggalan apabila kedua-dua negara itu menandatangani memorandum persefahaman pada Mei lalu untuk membina reaktor nuklear mereka sendiri menjelang tahun 2036.
Reaktor itu dijangka digunakan untuk membekalkan tenaga kepada Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa (ILRS), yang turut melibatkan penyertaan 17 negara lain termasuk Mesir, Venezuela, Thailand dan Pakistan.
Menurut Roscosmos, agensi angkasa Russia, ILRS akan menjalankan penyelidikan saintifik dan menguji teknologi operasi jangka panjang secara automatik dengan prospek kehadiran manusia secara kekal di bulan.
Namun demikian, pertikaian mula timbul berhubung isu pemilikan dan pengisytiharan kawasan.
Walaupun Perjanjian Angkasa Lepas 1967 yang ditandatangani oleh kebanyakan negara melarang sebarang tuntutan kedaulatan ke atas jasad cakerawala termasuk bulan, AS kini semakin tegas menerusi perjanjian baharu dikenali sebagai Artemis Accords.
Diperkenalkan pada tahun 2020, perjanjian itu membolehkan penubuhan “zon keselamatan” di kawasan operasi yang tidak boleh dimasuki oleh negara lain tanpa kebenaran, walaupun AS mendakwa zon ini bersifat sementara, ia berfungsi seperti sempadan de facto apabila melibatkan koloni kekal.
China dan Russia yang tidak menandatangani Artemis Accords pula tidak terikat secara sah untuk menghormati zon larangan masuk AS.
































