KENINGAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh ekosistem keusahawanan di seluruh negara, khususnya di Sabah yang mempunyai potensi ekonomi yang besar, kata Menterinya, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, KUSKOP turut memberi tumpuan khusus kepada kelompok usahawan strategik termasuk usahawan mikro, muda, wanita serta usahawan baharu yang beroperasi kurang daripada tiga tahun agar tiada yang tercicir dalam arus pembangunan negara.
“Saya hadir hari ini bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai tanda komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkasa usahawan melalui pelbagai inisiatif,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Beramah Mesra Program Maju Usahawan MADANI di Hotel Juta, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi SME Bank, Dato’ Muslim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif CEDAR, Amirul Imran Ahmat.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada SME Bank serta sayap pembangunan kapasiti dan latihan, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), atas usaha menganjur dan menyelaras Program Maju Usahawan MADANI 2025 di Sabah.
Katanya, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara, menyumbang 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta menggaji seramai 7.86 juta pekerja.
“Sabah pula menyumbang secara signifikan kepada KDNK negara dengan kekuatan ekonomi tersendiri, terutamanya dalam sektor pertanian, pelancongan, industri makanan halal dan perkhidmatan digital.
“Potensi ini perlu digilap melalui pembiayaan, pembangunan kapasiti dan pengukuhan jaringan pasaran,” katanya.
Menurut Ewon, penganjuran Program Maju Usahawan MADANI bukan sahaja medan latihan, tetapi juga platform strategik untuk membina jaringan perniagaan, berkongsi pandangan, membentuk kolaborasi baharu dan meneroka peluang pasaran yang lebih luas.
Katanya, program itu merupakan salah satu inisiatif strategik KUSKOP di bawah Strategi Pemerkasaan Kapasiti Usahawan yang digariskan dalam Perancangan Strategik KUSKOP 2025, yang dirangka untuk meningkatkan daya saing dan ketahanan usahawan melalui latihan intensif, pembangunan kemahiran insaniah dan penguasaan pengetahuan pasaran semasa.
“Saya difahamkan sehingga Jun 2025, lebih 1,600 usahawan telah dilatih melalui program ini di seluruh negara, termasuk kira-kira 240 peserta dari Sabah. Ini menunjukkan penerimaan yang positif dan keyakinan usahawan terhadap keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, sesi seperti itu turut memberi ruang kepada KUSKOP, SME Bank dan CEDAR untuk mendengar secara langsung suara usahawan, di mana segala maklum balas akan menjadi input penting dalam memperkukuh reka bentuk program, membangunkan modul baharu serta melaksanakan inisiatif yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
“Kerjasama strategik bersama agensi pelaksana seperti CEDAR, institusi pembiayaan seperti SME Bank, agensi negeri serta rakan industri akan terus diperkukuh.
“Sinergi ini adalah kunci membentuk ekosistem keusahawanan yang progresif, mampan dan inklusif, selaras dengan agenda MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan pertumbuhan seimbang,” katanya.