Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Hubungan dua hala Malaysia dan China terus diperkukuh khususnya dalam aspek keselamatan dan pertahanan strategik antara kedua-dua negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, Jeneral Xu Xueqiang, pagi tadi.
Katanya, pertemuan tersebut turut menyentuh kerjasama erat antara Malaysia dan China termasuk dalam pelaksanaan latihan bersama serta kolaborasi dalam teknologi strategik.
“Malaysia menghargai kerjasama rapat dengan China dalam aspek keselamatan, termasuk latihan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Saya juga menekankan kepentingan meneroka kerjasama dalam bidang teknologi strategik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap peranan konstruktif yang dimainkan China dalam menangani isu serantau.
“China memainkan peranan penting termasuk usaha gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta menyokong penyelesaian kepada krisis di Myanmar,” katanya.
Tambah Anwar, Malaysia menzahirkan penghormatan terhadap kepimpinan tertinggi China dan beliau menantikan peluang untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping serta Premier Li Qiang bulan depan.
































