Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Seramai 4.65 juta usahawan atau penjual tempatan menjalankan perniagaan melalui platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop sehingga 31 Julai 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, angka tersebut menunjukkan pertumbuhan pesat sektor perdagangan digital negara yang menjadi antara medium utama peniaga kecil dan sederhana menjana pendapatan.
Beliau berkata, kementeriannya komited membangunkan ekosistem e-dagang yang selamat, telus dan berdaya saing melalui pelbagai inisiatif termasuk perundangan yang sedia ada.
“Antaranya ialah pelaksanaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang antara lain memperuntukkan kewajipan kepada pengendali platform e-dagang untuk menyimpan.
“Selain itu, menyelenggara rekod pembekal (merchant) bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH–Ipoh Timor) yang ingin mengetahui jumlah akaun usahawan Malaysia yang menjalankan perniagaan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok.
Tambah Armizan, Kementerian terus memperkukuh keyakinan pengguna dan menyokong pembangunan usahawan digital melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi serta pemain industri.