Supian ketika ditemu bual di konti SabahVFM.
KOTA KINABALU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) mengalu-alukan penyertaan masyarakat untuk meraikan sambutan Bulan Kebangsaan.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah Supian Musa, konvoi KMJG tahun ini berorientasikan tema “Malaysia Madani:Rakyat Disantuni” yang telah diumumkan kerajaan, baru-baru ini.
“Selaras dengan tema yang ditetapkan pengisian program yang bakal diadakan lebih memfokus kepada program-program yang dapat menyantuni rakyat di setiap lokasi.
“Antaranya, perkhidmatan langsung agensi kerajaan, aktiviti komuniti, bengkel kemahiran serta penglibatan dari penglibatan strategik dari pelbagai pihak menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Konvoi ini antara platform bagi menyemarakkan kibaran bendera selain menyuburkan semangat patriotisme selain penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat” katanya ketika ditemu bual di konti SabahVFM dalam bahasa Bajau.
Beliau turut memaklumkan, konvoi yang melibatkan lebih 20 agensi kerajaan akan bermula di Penampang pada 1 Ogos dan akan berakhir di daerah Tuaran pada 23 Ogos ini.“Pada tahun ini, konvoi akan disertai oleh pihak Proton Shirba Autoworld Sdn Bhd di samping penglibatan Komuniti Madani di setiap perhentian bagi menjayakan program ini.
“Selain itu, penyertaan dari semua lapisan masyarakat bukan sahaja akan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) malah akan memperkukuhkan semangat cintakan negara selaras dengan tema tahun in,” jelas beliau.
Supian berharap agar masyarakat setempat menyahut seruan bagi mengibarkan bendera serta menyertai pelbagai aktiviti di setiap hentian KMJG sebagai menzahirkan rasa cinta kepada negeri dan negara yang tercinta.
“Orang ramai boleh melayari portal www.merdeka360.my, siaran langsung di media sosial JAPEN Sabah untuk mendapatkan maklumat serta liputan oleh RTM, BERNAMA dan media tempatan lain” katanya lagi.




























