Program eHati dianjurkan pada September tahun lalu di IDCC, Shah Alam, Selangor.
SHAH ALAM: Enam individu termasuk pasangan suami isteri dan anak perempuan penganjur program motivasi rumah tangga eHati kembali ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti Queen’s Night yang didakwa bertentangan dengan syarak.
Menurut Utusan Malaysia, enam individu itu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam untuk diambil keterangan di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam) dan Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
JAIS dalam kenyataannya berkata, selain penahanan individu berusia 26 hingga 47 tahun itu, pihaknya turut merakam percakapan 38 orang saksi dan mengenal pasti sekurang-kurangnya 282 peserta terlibat dalam program yang diadakan pada 27 hingga 30 September di Pusat Konvensyen Ideal, di sini, tahun lalu.
“Sebanyak tiga buah buku dan tiga keping VCD yang dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Mufti Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.
“Siasatan menyeluruh juga dilakukan merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis membebaskan keenam-enam individu tersebut selepas direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung penganjuran acara berunsur lucah, pada September tahun lalu.
Malah, JAIS sebelum ini mendakwa penganjur program eHati itu tidak pernah menunjukkan keseluruhan modul dan aktiviti termasuk Queen’s Night yang dijalankan pada bagi mendapatkan kebenaran jabatan berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penjelasan yang diberikan oleh penganjur menerusi Panel Sesi Penjelasan yang dilantiknya pada 15 November 2022 adalah merujuk kepada video mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita merapatkan hubungan antara suami isteri.

































