PETALING JAYA: Polis masih mengesan pemilik akaun media sosial Threads yang membuat hantaran fitnah dan berunsur provokatif terhadap seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, pihaknya sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun itu.
Katanya, polis sudah merakam keterangan artis terbabit bagi membantu siasatan.
“Beberapa lagi keterangan saksi akan diambil dalam minggu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, pelakon dan penyanyi terkenal itu membuat laporan polis berhubung satu hantaran fitnah dan berunsur provokatif yang didakwa dimuat naik di platform media sosial Threads.
Laporan polis itu dibuat susulan beliau tidak berpuas hati berhubung hantaran dibuat pemilik akaun aplikasi itu yang didakwa mengandungi unsur fitnah, provokasi dan hasutan yang disebarkan secara umum.
Kes dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998
































