Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) dalam mesyuaratnya hari ini telah meluluskan secara prinsip projek-projek tenaga dengan jumlah kapasiti keseluruhan 723 megawatt (MW) bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik jangka sederhana negeri ini.
Loji janakuasa berasaskan gas di Kimanis dan Tawau dengan kapasiti keseluruhan 360MW, serta projek tenaga boleh diperbaharui yang merangkumi sumber hidro dan tenaga angin dengan kapasiti gabungan 363MW, telah diberikan kelulusan bersyarat dari segi teknikal dan komersial.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang mempengerusikan mesyuarat itu di Menara Kinabalu menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh majlis perlu dilaksanakan secara seimbang dan berhemah.
“Ini adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor perindustrian serta kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang munasabah.
“Saya percaya dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus berperanan sebagai platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa beberapa projek pantas (fast-track) yang diluluskan dalam mesyuarat MTS tahun lalu kini mula menampakkan hasil.
Antaranya ialah peningkatan margin simpanan janakuasa elektrik daripada 10 peratus pada Januari 2023, sebelum Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengambil alih kuasa kawal selia, kepada 17 peratus ketika ini dan dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
Projek-projek pantas yang diluluskan MTS juga telah menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem Sabah (SAIDI), daripada 363 minit dalam tempoh enam bulan pertama 2023 kepada 215 minit dalam tempoh sama pada 2024, dan seterusnya menurun kepada 162 minit bagi enam bulan pertama tahun ini.
Hajiji turut menggesa supaya syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) diperkasakan agar dapat memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga negeri.
































