Zulkarnain menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat.
KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran sebuah artikel berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang disiarkan di laman blog Malaysianspeaks.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, artikel bertajuk “The real scandal is not in the jet, but in Hajiji Noor’s silence” itu mengandungi pelbagai tuduhan liar dan tidak berasas yang cuba mengaitkan Hajiji dengan skandal perlombongan serta dakwaan kononnya beliau mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Natasha Sim menerima rasuah.
“Kami memandang serius penyebaran maklumat palsu ini kerana ia jelas bertujuan mencemarkan nama baik YAB Ketua Menteri dan menjatuhkan maruah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur bagi membolehkan siasatan segera dilakukan ke atas blog serta penulis terbabit.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap portal dan individu yang menyebarkan kandungan berunsur fitnah serta hasutan tersebut.
“Penyebaran artikel ini dipercayai merupakan sebahagian daripada strategi terancang pihak pembangkang negeri, khususnya Parti Warisan dan UMNO Sabah, untuk melemahkan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Zulkarnain berkata, tindakan seperti itu bukan sahaja memburukkan imej pemimpin negeri, malah boleh menggugat kestabilan politik di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa G57 akan terus mempertahankan kebenaran dan menentang sebarang cubaan menyebarkan fitnah demi menjaga maruah dan kestabilan negeri.
“Kami tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana cubaan untuk merosakkan reputasi pemimpin negeri melalui berita palsu atau naratif berniat jahat,” katanya.
Tambahnya, pihaknya percaya ada agenda politik tertentu di sebalik penyebaran artikel tersebut, yang perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
G57 turut menasihati rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan tidak sahih di media sosial dan blog tidak berdaftar yang boleh mencetuskan salah faham serta ketegangan.
Zulkarnain menegaskan, pemimpin Kerajaan Negeri wajar diberi ruang untuk menjalankan tugas tanpa diganggu oleh serangan fitnah bermotifkan politik.
Beliau juga menggesa semua pihak agar menghentikan budaya politik kebencian yang boleh merosakkan keharmonian dalam masyarakat.
“G57 kekal komited untuk menyokong pentadbiran negeri yang sah dan menolak segala bentuk politik tidak matang yang berteraskan pembohongan,” katanya.
Katanya, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat melalui penyebaran maklumat palsu.


































