Dr. Zambry Abdul Kadir
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau penularan fahaman militan ekstremis dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya melibatkan pengaruh kumpulan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) berideologi Islamic State (IS).
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang penyebaran ideologi radikal yang semakin aktif di media sosial.
“Kita sentiasa memantau dengan kerjasama pihak keselamatan khususnya PDRM bagi memastikan fahaman sebegini tidak tersebar luas sama ada dari dalam atau luar negara.
“Saya yakin kerjasama antara KPT dan pihak keselamatan berada pada tahap yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025 di Hotel dan Residensi UTM, di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan seramai 36 individu termasuk ketua GMRB ditahan dalam tiga siri operasi sekitar Selangor dan Johor dari 28 April hingga 21 Jun lalu.
Siasatan mendapati kesemua suspek masuk ke negara ini secara sah untuk bekerja dalam sektor kilang, pembinaan dan perkhidmatan, namun sebahagian daripada mereka direkrut dan terpengaruh dengan fahaman radikal yang dibawa dari luar.
Mereka dipercayai menyebarkan ideologi IS dalam kalangan komuniti migran terutama warga Bangladesh menerusi media sosial dan aplikasi pesanan sekali gus mencetuskan ancaman terhadap keselamatan serta kestabilan negara.

































