Joniston mewakili Ketua Menteri menyampaikan anugerah Lagu Terbaik Keseluruhan kepada Lyron Felix menerusi lagu ciptaannya bertajuk “Hangadon Zou”.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha murni dalam memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan seperti penganjuran Anugerah Lagu SABAHVfm.
“Saya yakin menerusi program seperti SABAHVfm, bakat baharu akan terus diketengahkan dan industri muzik etnik Sabah akan terus bersinar,” katanya semasa majlis Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 yang berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang malam tadi. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk terus bekerjasama dengan RTM Sabah serta agensi-agensi lain pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat dilaksanakan.
“Kita akan terus berusaha menyediakan sokongan yang diperlukan agar industri seni dan budaya di Sabah terus berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata, Anugerah Lagu SABAHVfm juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melihat industri muzik tempatan terus berkembang maju.
Program ini turut mencerminkan komitmen RTM Sabah untuk mendekati masyarakat dan menggalakkan penghasilan karya seni baharu yang berkualiti tinggi.
“Anugerah Lagu SABAHVfm sangat signifikan kerana ia menyediakan platform untuk mempersembahkan lagu-lagu etnik Sabah bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke peringkat antarabangsa menerusi aplikasi RTM Klik dan laman Facebook RTM Sabah serta SABAHVfm. Ini satu langkah proaktif yang wajar dicontohi,” katanya.
“Program seperti ini membuka peluang kepada para penggiat seni, khususnya pencipta lagu etnik, untuk mengembangkan bakat dan karya mereka. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyokong dan menggalakkan para penggiat seni tempatan untuk menghasilkan lebih banyak lagu baharu dalam bahasa etnik Sabah.”
Katanya lagi, lagu dan muzik etnik bukan sekadar hasil ciptaan melodi dan lirik, malah mencerminkan sejarah dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, lagu dan muzik etnik Sabah perlu terus disokong oleh masyarakat, khususnya generasi muda, agar semangat untuk memartabat dan memelihara muzik etnik negeri ini terus menyala.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir. Kehadiran anda di sini membuktikan komitmen dan kecintaan anda terhadap muzik etnik Sabah. Semoga program ini terus menjadi pemangkin kepada kemajuan muzik etnik di Sabah,” katanya.


































