LOS ANGELES: Dunia muzik digemparkan dengan kemunculan sebuah kumpulan rock kecerdasan buatan (AI) bernama The Velvet Sundown yang kini mencatat lebih 500,000 pendengar bulanan di Spotify hanya dalam tempoh dua minggu.
Lebih mengejutkan, The Velvet Sundown sudah pun mengeluarkan dua album penuh dan bakal melancarkan album ketiga tidak lama lagi.
Menurut Utusan Malaysia, kejayaan luar biasa dalam tempoh begitu singkat mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat dan pemerhati industri, mengenai siapa sebenarnya di sebalik kumpulan ini.
Menurut biodata rasmi kumpulan tersebut, The Velvet Sundown ialah satu projek muzik sintetik yang digerakkan oleh arah tuju kreatif manusia, namun keseluruhan muzik, suara, visual, watak dan liriknya dihasilkan dengan bantuan teknologi AI.
“Satu provokasi artistik berterusan untuk mencabar sempadan penulisan, identiti dan masa depan muzik dalam era kecerdasan buatan,” ujar kenyataan rasmi kumpulan itu.
Kumpulan yang dianggotai vokalis, Gabe Farrow; gitaris, Lennie West; pemain synthesizer, Milo Rains dan pemain perkusi, Orion Rio Del Mar tidak mempunyai sebarang rekod kewujudan sebenar kecuali di akaun Instagram kumpulan itu yang juga baru sahaja diwujudkan hujung bulan lalu.
Beberapa keping gambar promosi mereka juga dipercayai dihasilkan menggunakan alat imej AI malah, di platform penstriman Deezer, kumpulan itu secara terbuka menyatakan beberapa trek lagu mungkin dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Lagu paling popular mereka, Dust on the Wind berjaya meraih lebih setengah juta penstriman di Spotify sementara lagi, Vietnam War Music dan Good Mornings – Happily Positive Music to Start The Day turut mendapat perhatian.
Walaupun ramai yang kagum dengan keupayaan teknologi menghasilkan muzik berkualiti tinggi, tidak kurang juga yang melahirkan kebimbangan tentang implikasi etika, hak cipta, serta kesan terhadap kelangsungan artis sebenar.
































