Shahelmey Yahya
meluluskan kajian awalan dan rekabentuk bagi projek pembinaan jajaran jalan yang menghubungkan Sabah ke Kalimantan, Indonesia, susulan pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke ibu negara baharu, Nusantara.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, terdapat satu jajaran khusus yang telah dicadangkan, iaitu Projek Membina Jalan Baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris).
“Jajaran ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 28 kilometer yang akan menghubungkan Jalan Sapulut–Kalabakan sedia ada ke sempadan Malaysia–Indonesia, serta satu laluan ‘spur road’ sepanjang 20 kilometer yang akan menghubungkan Kampung Serudong Laut,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia telah meluluskan kajian awalan dan rekabentuk projek ini di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12).
“Pada masa ini, kerja-kerja di lapangan seperti pengukuran tanah, pemetaan utiliti dan penyiasatan tanah sedang giat dijalankan bagi mengumpul data dan maklumat untuk melengkapkan kajian dan rekabentuk projek tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Shahelmey turut memaklumkan terdapat satu lagi cadangan jajaran jalan ke sempadan Bantul, Pensiangan iaitu Projek Membina Jalan dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul, Daerah Pensiangan.
“Projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan dilaksanakan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB), dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya, sambil menambah bahawa projek tersebut kini sedang dalam proses perolehan.


































