Muhammad Hakim Noraji didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di Banda Hilir.
MELAKA: Seorang pencipta kandungan (influencer) didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di Banda Hilir di sini.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Amirrudin Abdul Latip dalam prosiding dikendalikan Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di dua lokasi dan masa berbeza iaitu kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 10 Jun lalu di sekitar Bangunan A’ Famosa serta kira-kira pukul 1.30 pagi tadi di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam, Jalan Kota.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana memakai pakaian dan berlagak seperti perempuan di tempat awam tanpa alasan munasabah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara hingga enam bulan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM850 bagi pertuduhan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar dan RM950 bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh membayar denda tersebut.
































