Hajiji melakukan gimik perasmian Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025.
KOTA MARUDU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menimbangkan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh, tertakluk kepada kajian kelayakan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib.
“Kerajaan mendengar aspirasi rakyat Matunggong dan akan meneliti aspek keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah.
“Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat,”
katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala dasar, program dan inisiatif Kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Jangan kita undur ke belakang. Teruslah bersama Kerajaan GRS yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan membela rakyat serta membangunkan negeri secara inklusif,” tegasnya.
Hajiji memuji usaha Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) yang terus menganjurkan Festival Kebudayaan Rungus secara konsisten sebagai platform memperkenal dan mempromosi budaya suku kaum Rungus.
.