SYDNEY: Seorang lelaki di Australia maut selepas dijangkiti virus seakan rabies yang sangat jarang berlaku, dipercayai berpunca daripada gigitan kelawar.
Menurut Utusan Malaysia, perkhidmatan kesihatan di New South Wales memaklumkan, mangsa berusia 50-an itu digigit oleh seekor kelawar yang membawa virus berkenaan beberapa bulan lalu.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa atas kehilangan tragis ini.
“Walaupun kes lyssavirus kelawar Australia amat jarang berlaku, tiada rawatan berkesan untuk jangkitan tersebut,” kata NSW Health dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, lelaki dari utara New South Wales itu dilaporkan kritikal di hospital awal minggu ini.
Pegawai kesihatan berkata, lelaki berkenaan menerima rawatan selepas digigit, dan siasatan dijalankan bagai mengenal pasti sama ada terdapat pendedahan lain atau faktor yang mungkin menyumbang kepada penyakitnya.
Virus itu, yang mempunyai kaitan dengan rabies, disebarkan apabila air liur kelawar memasuki tubuh manusia melalui gigitan atau cakaran.
Gejala pertama boleh muncul dalam tempoh beberapa hari atau mengambil masa bertahun-tahun selepas jangkitan.
Menurut perkhidmatan kesihatan, tanda awal penyakit itu menyerupai selesema, termasuk sakit kepala, demam dan keletihan.
Keadaan mangsa kemudian merosot dengan cepat, membawa kepada lumpuh, kekeliruan serius, sawan dan akhirnya menyebabkan kematian.
Sejak pertama kali dikenal pasti pada 1996, hanya tiga kes jangkitan lyssavirus kelawar Australia dilaporkan dalam kalangan manusia, dengan kesemua dilaporkan maut.































