PARIS: Hampir tiga perempat daripada tapak warisan budaya dan semula jadi dunia kini dalam ancaman serius akibat kekurangan atau limpahan air, menurut laporan baharu dikeluarkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut Utusan Malaysia, kajian yang membabitkan 1,172 tapak warisan bukan marin di seluruh dunia itu mendedahkan 73 peratus daripadanya terdedah kepada sekurang-kurangnya satu risiko air yang besar, termasuk tekanan air, kemarau, banjir sungai mahupun banjir pesisir.
Menurut UNESCO, peningkatan suhu global yang dipacu perubahan iklim telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti taufan, kemarau, banjir dan gelombang haba semakin kerap dan bertambah buruk.
“Tekanan air dijangka akan menjadi lebih teruk, khususnya di kawasan seperti Asia Barat, Afrika Utara, sebahagian Asia Selatan dan utara China.
Keadaan ini bakal memberikan kesan jangka panjang kepada ekosistem, warisan budaya, serta komuniti dan ekonomi pelancongan yang bergantung padanya,” menurut kenyataan badan itu.
Dalam laporan yang sama, UNESCO menyatakan tapak warisan budaya paling banyak terjejas akibat kekurangan air, manakala lebih separuh tapak warisan semula jadi pula berdepan risiko banjir dari sungai-sungai berdekatan.
Sebagai contoh, Taj Mahal di Agra, India kini berdepan krisis kekurangan air yang mengakibatkan pencemaran meningkat dan paras air bawah tanah semakin merosot, sekali gus memberi kesan buruk kepada struktur makam itu.
Di Amerika Syarikat pula, banjir besar yang melanda Taman Negara Yellowstone pada tahun 2022 telah memaksa penutupan keseluruhan taman tersebut serta menyebabkan kerugian lebih AS$20 juta (RM 84 juta) dalam kos pembaikan infrastruktur.
Laporan ini menggesa negara-negara anggota UNESCO untuk mempertingkatkan usaha perlindungan terhadap tapak warisan yang semakin terancam akibat perubahan iklim, khususnya melibatkan pengurusan sumber air secara mampan dan bersepadu.
UNESCO juga menegaskan langkah-langkah penyesuaian terhadap iklim perlu diambil segera bagi mengelakkan kehilangan warisan tidak ternilai dunia untuk generasi akan datang.






























