Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Damai-Luyang, di sini hari ini.
Mangsa berusia 67 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan pada jam 1 petang dan sepasukan lapan anggota dari digerakkan ke lokasi sejauh empat kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi lima minit kemudian, didapati sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser telah terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terhumban ke dalam longkang.
Mangsa didapati tersepit di bahagian pemandu dan pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 1.50 petang.
Turut berada di lokasi ialah anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. bagi membantu menguruskan insiden dan keselamatan kawasan.


































