Donald Trump
WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump memperkukuh usahanya untuk melucutkan kewarganegaraan segelintir rakyat Amerika Syarikat (AS) melalui satu memo baharu yang diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman pada 11 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, memo berkenaan mengarahkan peguam kerajaan untuk memberi keutamaan kepada ‘pencabutan kewarganegaraan’ terhadap warganegara naturalisasi iaitu individu yang memperoleh kerakyatan selepas kelahiran sekiranya mereka disabitkan jenayah tertentu atau memperolehnya secara penipuan.
Antara kesalahan yang dinyatakan dalam memo tersebut termasuklah memperoleh taraf kewarganegaraan secara haram atau melalui penyembunyian fakta penting serta penipuan secara sengaja ketika memohon naturalisasi.
Memo itu memberi tumpuan kepada kira-kira 25 juta rakyat AS yang dilahirkan di luar negara tetapi memperoleh taraf kewarganegaraan melalui proses naturalisasi selain turut menyenaraikan 10 kategori keutamaan yang menjadi sasaran proses pencabutan kewarganegaraan tersebut.
Menurut dokumen itu, individu yang berdepan prosiding sivil tidak berhak mendapatkan peguam seperti dalam kes jenayah, dan beban pembuktian terhadap kerajaan juga adalah lebih ringan berbanding prosiding jenayah.
Antara sasaran utama tindakan ini ialah individu yang terlibat dalam jenayah berat seperti jenayah perang, pembunuhan luar perbicaraan dan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk ahli kumpulan jenayah terancang, penjenayah bersiri dan mana-mana individu yang dilihat terus mengancam keselamatan AS.
Memo itu turut memberi kuasa lebih luas kepada peguam Jabatan Kehakiman untuk memulakan prosiding pencabutan kewarganegaraan termasuk dalam kes penipuan borang imigresen, penipuan kewangan dan penipuan perubatan sama ada terhadap kerajaan mahupun pihak swasta.
Bahagian Hak Sivil Jabatan Kehakiman kini menjadi tunjang dasar pentadbiran Trump, termasuk menghapuskan program Kepelbagaian, Ekuiti dan Inklusi (DEI) dalam kerajaan serta menamatkan rawatan untuk golongan transgender.


































