Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku dan tetap berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau menyokong penuh pendirian Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan sesekali mencampuri sebarang siasatan atau pendakwaan yang sedang berjalan terhadap mana-mana ADUN.
“Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang, bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik, mahupun kepentingan individu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mengulas mengenai pendakwaan ke atas dua ADUN, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelaskan bahawa isu itu adalah bersifat peribadi dan sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang untuk berjalan secara telus dan adil.
“Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri, Kerajaan Negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN tersebut setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima, bukannya membuat keputusan terburu-buru mengikut desakan politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi isu ini untuk melemahkan Kerajaan Negeri yang sah dan stabil.
“Kerajaan GRS tidak pernah menutup kesalahan, jauh sekali melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk menggugat kestabilan kerajaan yang sedang bekerja keras untuk rakyat,” tegas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu.
Menurut beliau, semua pihak harus membenarkan mahkamah menentukan benar atau salah dan menghormati hak individu untuk membela diri.
“Kita berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang. Kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRS akan terus berfungsi seperti biasa dan tidak akan goyah dengan sebarang cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina.
“Fokus kami tetap pada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi.
































