Seoramg anggota trafik meninggal dunia dalam kemalangan ketika menjalankan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara, di sini, awal pagi kelmarin.
PETALING JAYA: Seorang anggota trafik meninggal dunia dalam kemalangan ketika menjalankan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara, di sini, awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, Allahyarham Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, 24, maut dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi kelmarin.
“Allahyarham kemalangan ketika menjalankan Operasi Samseng Jalanan Fasa Kedua, pagi tadi (kelmarin) bermula pada 12 tengah malam.
“Ketika kejadian, Allahyarham bersama seorang lagi anggota sedang mengekori sebuah motosikal, bukan mengejar tetapi mengekori seorang penunggang yang melakukan aksi samseng jalanan.
“Sampai susur daripada Jalan Tun Razak ke Jalan Kuching, Allahyarham terbabas kerana ketika itu keadaan jalan masih basah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Menurutnya, Allahyarham terjatuh ke bahagian kiri jalan manakala seorang lagi anggota yang berada kira-kira 10 saat di belakang turut terjatuh.
Katanya, Allahyarham dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi anggota cedera ringan.
“Allahyarham berkhidmat di JSPT Kuala Lumpur sejak tamat latihan kira-kira empat tahun lalu dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi sejak setahun lalu,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu kelmarin.




























