Dr. Joachim (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat yang hadir selepas gimik pelancaran majlis itu.
PENAMPANG: Kerajaan Sabah kekal komited dalam usaha memupuk persefahaman dan memperkukuh kerjasama dengan rakan sejawatnya di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan perpaduan dan kemajuan serantau, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Berucap semasa acara Kejohanan Golf Kaamatan Gawai 2025 yang berlangsung di Buhavan Square, Donggongon kelmarin, Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf kejohanan itu sebagai satu platform penting untuk membina persefahaman dan persahabatan antara rakyat Sabah dan Sarawak – khususnya dalam kalangan masyarakat peribumi Kadazandusun dan Dayak.
“Kerajaan Sabah akan terus memudah cara dan menggalakkan hubungan mesra serta persefahaman dengan rakan-rakan kita di Sarawak,” katanya.
“Sehubungan itu, kejohanan golf ini menjadi wadah penting untuk menyatakan hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri.”

Miro (dua dari kiri ) menyampaikan cek kemenangan kepada Carl dan disaksikan oleh Dr. Joachim (dua dari kanan) dan Ladislaus (kanan).
Beliau menekankan bahawa penganjuran acara sebegini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memelihara ikatan budaya, tetapi juga dalam menyatupadukan komuniti di seluruh Borneo. “Persefahaman dan kerjasama yang erat ini membawa petanda baik untuk kemajuan dan pembangunan berterusan kedua-dua wilayah,” katanya.
Dr. Joachim berkata, Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya merangkumi kira-kira 60 peratus keluasan tanah Malaysia, namun hanya menempatkan sekitar 20 peratus daripada jumlah penduduk – satu faktor yang menawarkan potensi besar untuk kerjasama strategik yang lebih luas.
“Kejohanan ini bukan sahaja telah mencapai kematangan, malah turut merapatkan hubungan dan persahabatan antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI),” tambahnya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada para pemenang kejohanan edisi tahun ini, beliau turut menyuntik semangat kepada peserta lain agar tidak berputus asa. “Dalam semangat perpaduan dan persahabatan, tiada yang kalah di sini – semuanya adalah pemenang. Pemenang sebenar adalah ikatan yang semakin kukuh antara komuniti kita.”
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada peserta dari Sarawak atas sokongan padu dan penyertaan mereka yang penuh semangat, sambil menyatakan kehadiran mereka menyemarakkan lagi suasana dan menyumbang kepada kejayaan acara tersebut.
Dr. Joachim turut menyeru agar tradisi sukan Kaamatan-Gawai ini diteruskan, kerana ia telah terbukti bukan sekadar satu pertandingan, tetapi satu perayaan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kejohanan ini bukan hanya mengenai golf – ia tentang memupuk hubungan baik, memperkukuh nilai bersama dan membina masa depan yang lebih kukuh secara bersama,” katanya.
Turut hadir Presiden KCCI, Ladislaus Maluda; Presiden DCCI, Dato’ Allan Keripin; Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Carl Moosom; Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), YB Miro Simuh; Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Ahli Lembaga SME Corp di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Bell Agan dan Pengerusi Penganjur, Edmond Lo.
































