Lima pelajar sebuah sekolah di Besut semasa dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Lima pelajar sebuah sekolah di Besut, dekat sini ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian buli fizikal terhadap seorang pelajar junior sekolah sama, Selasa lalu.
Menurut Utusan Malaysia, perintah tahanan reman terhadap kesemua pelajar lelaki berusia antara 15 tahun hingga 17 tahun itu dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu dilaporkan berkata, polis menerima satu aduan yang dibuat oleh mangsa pada pukul 6.48 petang kelmarin.
Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam Selasa lalu, mangsa berusia 14 tahun mendakwa telah diarahkan untuk membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit oleh beberapa pelajar tingkatan tiga.
“Selain itu, mangsa dikatakan ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka. Susulan kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan sakit di perut dan rusuk sebelah kanan serta kesan lebam di bahagian belakang badan.
” Kejadian tersebut disedari oleh warden yang bertugas dan membawa mangsa serta semua suspek ke pejabatnya sebelum menghubungi penjaga mangsa,” katanya.
































